Waktu Solat

KITA SOLAT SEMBAH ALLAH, BUKAN SEMBAH IMAM

Wednesday, February 17, 2010

ASSALAMUALAIKUM

Solat wajib ditunaikan. Ia merupakan suruhan Allah yang maha esa. Penunaian solat, bukan amalan yang direka-cipta, tetapi ia adalah ketetapan dari Allah SWT.

Dalam solat, digalakan ditunaikan dalam berjemaah. Ada imam dan ada makmum. Makmum di suruh ikut segala perbuatan imam, selama imam tidak melakukan sebarang kesalahan yang mencacatkan solat, dan membatalkan solat.

Perlu diingat, ketika solat berjemaah ditunaikan, makmum di suruh ikut imam, bukan disuruh menyembah imam. Jika seseorang makmum menunaikan solat dibelakang imam dengan diniatkan untuk menyembah imam, ketika itu, solat makmum itu tidak sah, bahkan makmum itu sudah dikira sebagai orang yang syirik kepada Allah SWT.

Bukan solatnya sahaja batal, malahan aqidahnya juga terbatal. Waima solat diwajibkan, tetapi disebabkan salah kaedah dan cara, menyebabkan solat tertolak.

Melantik seseorang menjadi imam, bukan satu paksaan. Apabila wujud seseorang yang berkelayakkan menjadi imam, maka sudah pasti imam tersebut ditolak, lalu dia pun mengepalai solat jemaah terbabit.

Cumanya, apabila solat ditunaikan, secara automatic, imam itu diberi wala' tanpa berbelah bahagi lagi. Pun begitu, tiba-tiba imam tersebut tertambah rakaat, wajib bagi makmum menegur. Namun, setelah berkali-kali ditegur, imam tetap berkeras, imam tersebut tidak boleh dilayan lagi, bahkan orang dibelakangnya wajib mengambil alih kuasa menjadi imam.

GERAKAN ISLAM

Gerakan islam ditubuhkan dengan tujuan menyelamatkan umat daripada fitnah akhir zaman, iaitu menyelamatkan diri daripada menjadi manusia yang terpesong aqidah, sama ada terlibat dengan aqidah sekularisme, aqidah politik suku-agama suku, iaitu setelah kejatuhan kerajaan islam.

Disamping itu, gerakan islam akan berusaha memenangkan islam dengan berusaha sedaya upaya yang mungkin, dengan berusaha mencari segala maslahah yang ada untuk memperlihatkan islam sebagai agama yang diterima, dan agama yang adil.

Sebarang tindakan yang memberi kemudharatan kepada islam, maka itu bukan amalan gerakan islam. Jika mahu dibandingkan dengan solat, ia umpama seorang yang menunaikan solat dalam keadaan menambah rakaat.

justeru, apabila seseorang "imam" dalam gerakan islam telah melakukan tindakan yang boleh melahirkan kemudharatan kepada islam itu sendiri, ketika itu, tidak ada perlunya memberi wala' lagi terhadap "imam" terbabit, bahkan usaha menegur agar kemudharatan itu terhenti adalah dituntut.

Sabda nabi SAW;

إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya;
"hanya taat itu berlaku dalam perkara ma'ruf
[1]"

Mungkin ada yang membaca hadis, bahawa wajib memberikan wala' kepada "imam" sama ada suka, malas, benci dan sebagainya. Juga membaca firman Allah;

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ

Maksudnya;
"mungkin apa yang kamu tidak suka itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan mungkin apa yang kamu suka it buruk bagi kamu"

(Surah Al-Baqarah : 216)

Ayat ini perlu dibaca dengan maqasidnya. Jangan jadi seperti golongan jumud nas, atau zahiri moden, iaitu golongan yang membaca sesuatu nas tanpa melihat kepada maqasid disebalik kandungan ayat ini.

Perlu diperhatikan, bahawa Ayat ini diturunkan berkenaan dengan jihad qital. Jihad qital merupakan kemudharatan, iaitu berhadapan dengan kematian. Namun begitu, tidak terlibat dalam jihad qital pula merupakan mudharat yang lebih besar, iaitu sesebuah Negara akan berhadapan dengan kerosakan.

Justeru, menggadaikan nyawa untuk terlibat dalam jihad qital adalah perkara yang tidak sukai, tetapi ia wajib dilibatkan diri kerana ia melahirkan kebaikan di masa akan datang. Maka itulah maksud dengan firman Allah tersebut.

Begitujuga dalam hadis yang menyatakan wajib memberi wala' kepada "imam", sama ada dalam keadaan suka, benci, malas dan sebagainya. Memberi wala' itu, sekiranya tindakan seseorang "imam" tidak melahirkan kemudharatan terhadap islam itu sendiri. justeru, apabila imam melakukan tinadkan yang boleh melahirkan mudharat, pasti tiada wala' dalam perkara tersebut.

Apa yang pasti, wala' bukan satu doktrin yang dipaksa terhadap ahli agar berikan kepada "imam", tetapi ia adalah tanggungjawab yang pasti akan diberikan oleh pengikut bawahan terhadap "imam" yang benar-benar menunaikan tanggungjawabnya, juga tidak bertindak yang memberi kemudharatan kepada Islam itu sendiri.

Masalahnya sekarang, apabila ada pihak yang mahu menggunakan wala' untuk menyelamatkan diri "imam" tertentu. Apabila keadaan ini berlaku, tidak hairan doktrin wala' akan dilihat sebagai candu, sepertimana Karl Marx mengatakan agama sebagai candu apabila dia melihat agama dijadikan jalan untuk mengaut keuntungan kehidupan dunia oleh golongan paderi-paderi di zaman itu.

Perlu diingat, isteri memang wajib memberi wala' kepada suaminya. Pun begitu, bukan bermakna suami boleh buat sesuka hati sahaja sehingga menafikan hak si isteri, malahan sebagai suami yang baik, siqah perlu dijaga juga agar isteri akan terus memberi wala' terhadap suaminya.

Tetapi, jika ada suami yang tidak memberikan hak isterinya, lalu berkata, "Hang wajib memberi wala' kepada aku", pasti suami itu akan dilihat oleh masyarakat umum sebagia suami yang dictator dan zalim. Sudah pasti, perkara ini tidak pernah diterima langsung oleh islam.

Makanya disini, kita di suruh solat berjemaah, tetapi tidak pernah disuruh menyembah imam. Begitujuga Kita disuruh terlibat dalam gerakan islam, tetapi kita tidak pernah disuruh menyembah gerakan islam yang kita libatkan diri itu.

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

0 comments:

JADUAL KULIAH

AKAN DATANG...

IKON

IKON

RISALAH

RISALAH

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP